Sunday 29 May 2011

Foto Sungai Paling Tercemar Di Dunia














       Perawatan: Sebelum Pengklorinan (Pre-Chlorination) 

     Klorin (Cl2) kadang-kala ditambahkan ke dalam air masukan untuk mengawal masalah rasa dan bau, atau untuk mengawal pertumbuhan alga di dalam Loji Perawatan. 


     1.Pembauran: Sebelum Kapur dan Tawas ( Pre-Lime and Alum) 
    Kapur dimasukkan untuk menyesuaikan keasidan air supaya proses perawatan lebih berkesan. 

     2.Penggumpalan (Flocculation) 
    Terdapat zarah di dalam air mentah yang perlu disingkirkan. Banyak zarah yang terlalu kecil lalu tidak boleh enap. Di dalam air, zarah-zarah ini mempunyai cas negatif dan oleh sebab mempunyai cas yang sama,zarah-zarah ini tidak boleh bergabung. Bahan gumpal, sejenis bahan kimia yang bercas positif dimasukkan ke dalam air yang akan menarik zarah di dalam air mentah. Oleh itu, zarah yang lebh besar terbentuk dan cukup berat untuk enap.

    3.Pengelompokan (Coagulation) 
    Penggumpalan dan pengelompokan dibantu oleh penambahan polimer, satu rantaian panjang molekul yang boleh membuatkan kelompok lebih berat oleh tarikan kimia pada kelompok. Selepas pengelompokan, kelompok yang lebih berat perlu waktu untuk tenggelam. Ini dilakukan di dalam tangki pemendapan dan dipanggil proses pemendapan.

    4.Pemendapan (Sedimentation) 

    Pemendapan berlaku di dalam tangki besar, di mana air mengalir perlahan dan kelompok mempunyai waktu untuk tenggelam ke bawah dan disingkirkan. 

    5.Penurasan (Filtration) 
    Turas di loji perawatan air mengandungi lapisan pasir. Zarah yang kecil tidak dapat melalui turas kerana melekat pada pasir.Air melalui pasir dan apabila air sampai ke bahagian bawah, ia dikumpulkan dan bergerak semula. Selepas beberapa waktu, terdapat banyak zarah yang melekat pada pasir dan pasir akan tersumbat serta perlu dibersihkan melalui kaedah cuci balikan (backwash). Air jernih beserta udara dipam melalui jalan masuk yang bertentangan pada kelajuan yang tinggi untuk membersihkan turas. Zarah yang melekat pada pasir akan terungkai dan timbul ke permukaan. Air ini dikumpulkan dan menjadi air sisa. Air berturas melalui dua peringkat perawatan sebelum sampai ke tangki air jernih.

Kepentingan Sungai Kepada Manusia

     

   Fungsi sungai yang pelbagai dalam kehidupan manusia telah menjadikan sungai sebagai

aset yang sangat penting. Fungsi sungai yang paling utama kepada manusia adalah
sebagai sumber bekalan air sama ada untuk kegunaan domestik atau komersil. Kegunaan
domestik utama sungai adalah sebagai bekalan air bersih untuk minuman, membasuh
pakaian dan mandian. Fungsi komersil sungai adalah seperti kegunaan dalam industri,
pertanian dan akuakultur.


     Sungai juga digunakan untuk tujuan rekreasi seperti berenang, bersampan dan

berkayak dan memancing. Persekitaran sungai pula digunakan untuk rekreasi pasif
seperti berehat dan mendapatkan ketenangan serta menghayati persekitaran sungai.
Sungai juga digunakan sebagai medium pengangkutan, mendapatkan sumber protein
seperti ikan serta kegiatan ekonomi seperti menangkap ikan dan menjual pasir sungai.
   Sejak bermulanya tamadun manusia, sungai memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan manusia.


  • Kebanyakan bandar-bandar yang wujud sekarang bermula dengan perkampungan kecil yang berkembang mengikut masa.
  • Sebagai contoh, Bandaraya Kuala Lumpur yang berkembang dari perkampungan perlombongan bijih timah di pertemuan antara sungai Gombak dan sungai Kelang.
  • Sungai banyak memberikan sumbangan kepada manusia dengan membekalkan sumber protein yang tinggi untuk badan seperti ikan air tawar terutamanya bagi penduduk di kawasan pendalaman.
  • Air di sungai digunakan untuk mengairi kawasan pertanian seperti kawasan penanaman padi di Dataran Kedah, Dataran Kelantan, Delta Irrawaddy dan Delta Menam Chao Phraya.
  • Air sungai juga digunakan untuk kegunaan industri seperti industri pemprosesan kelapa sawit.
  • Sungai juga berperanan dalam kegunaan domestik seperti memasak, membasuh dan mandi.

  • Sungai yang bersaliran deras di bahagian hulu sesuai untuk menjana kuasa elektrik hidro seperti Sungai Huang He dan Sungai Indus.

  • Banyak aktiviti rekreasi dijalankan di sepanjang sungai seperti berkayak, memancing dan berenang.

Saturday 28 May 2011

Perhatian...



   Krisis air telah melanda sebahagian besar negara terutama di kawasan Lembah Kelang. Adalah didapati bahawa kemarau panjang yang dibawa oleh El Nino bukanlah satu-satunya sebab yang mencetuskan krisis tersebut.
Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor lain yang telah menyebabkan berlakunya krisis itu dan bagaimanakah pula untuk menanganinya?
   Air bukan sahaja anugerah kehidupan yang paling hebat tetapi juga sumber penting kehidupan. Tarikh 22 Mac ialah Hari Air Sedunia dan tema yang dipilih untuk 2010 ialah Air Bersih Untuk Dunia Yang Sihat.
Ini ialah bahagian pertama daripada dua bahagian yang mengupas tentang pentingnya sumber ini terus dipelihara serta pelbagai isu yang mengancam sumber air, di peringkat global juga dalam negara.
Air amat penting untuk kehidupan manusia, malahan lebih penting daripada makanan. Tubuh manusia dikatakan boleh bertahan berminggu-minggu tanpa makanan tetapi ia tidak boleh bertahan lebih daripada tiga hari tanpa air.
        Dalam banyak hal, air juga menjadi penyumbang besar kepada pembangunan mapan tetapi kesejahteraannya berterusan disanggah dan dianiayai.
Salah urus dan sifat haloba manusia mencetus padah kekurangan air serta pencemaran. Natijahnya, seluruh dunia kini berdepan dengan krisis air.
Pada 1992, syor untuk satu hari antarabangsa bagi mengiktiraf kepentingan air dibuat pada Persidangan Alam Sekitar dan Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCED).
        Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi tindak balas positif dengan mengisytiharkan 22 Mac 1993 sebagai Hari Air Sedunia yang pertama.
Satu tema akan diperakui untuk setiap tahun Hari Air Sedunia diraikan, memberi fokus kepada isu-isu tertentu berkaitan dengan air.
Untuk 2010, fokus teras perayaan ialah kualiti air, justeru tema yang dipilih ‘Air Bersih Untuk Dunia Yang Sihat.


                                                            
      Menurut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), jumlah isi padu air di atas muka bumi ialah kira-kira 1.4 bilion kilometer padu (km3). Isi padu sumber air tawar sekitar 35 juta km3, atau kira-kira 2.5 peratus daripada keseluruhan jumlah isi padu air.
     Daripada jumlah sumber air tawar, sekitar 24 juta km3 atau 70 peratus ialah dalam bentuk ais serta litupan salji kekal di kawasan pergunungan, rantau Antartik dan Artik.
Kira-kira 30 peratus daripada sumber air tawar dunia tersimpan di dalam perut bumi dalam bentuk air bawah tanah (cekungan air bawah tanah tohor dan dalam sehingga 2,000 meter, lembapan tanah, air paya dan tanah beku).
       Ini menjadikan kesemuanya kira-kira 97 peratus dari keseluruhan jumlah air tawar yang berpotensi untuk kegunaan manusia.
Menurut UNEP, suara alam sekitar dalam sistem PBB, tasik air tawar serta sungai mengandungi anggaran 105,000 km3 atau 0.3 peratus daripada sumber air tawar dunia.
Jumlah bekalan air tawar untuk sistem ekologi dan manusia ialah kira-kira 200,000 km3, di mana ia kurang daripada 1 peratus daripada semua sumber air tawar.
      UNEP, diasaskan pada Jun 1972 berperanan menyelia aktiviti alam sekitar PBB dengan membantu negara-negara sedang membangun melaksanakan dasar-dasar kemapanan alam sekitar dan menggalakkan pembangunan mantap di dunia.




    Menurut World Water Assessment Programme (WWAP), kira-kira 70 peratus air tawar digunakan untuk pengairan, sekitar 22 peratus untuk industri dan kira-kira lapan peratus untuk kegunaan domestik.
Ia juga menyatakan penduduk dunia berjumlah enam bilion orang menggunakan 54 peratus daripada semua sumber air tawar yang terdapat di dalam sungai, tasik dan sumber air bawah tanah.
   Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), penggunaan air semakin melonjak lebih daripada dua kali ganda kadar kenaikan penduduk dalam tempoh abad yang lalu.
Berdasarkan laporan ke-empat Tinjauan Alam Sekitar Global: penilaian pembangunan untuk alam sekitar atau ringkasnya GEO-4, pengambilan air dari sumber bumi dijangka meningkat 50 peratus menjelang 2023 di negara-negara sedang membangun, dan 18 peratus di negara-negara maju.
    GEO-4 ialah laporan komprehensif serta berwibawa PBB mengenai alam sekitar, pembangunan dan kesejahteraan manusia.
    Berdasarkan Laporan Pembangunan Manusia 2006 Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), lebih 1.4 bilion orang pada masa ini tinggal di lembangan sungai di mana penggunaan air mengatasi paras penjanaan semula air minimum, mengakibatkan pengeringan sungai dan penyusutan air bawah tanah.




      Statistik FAO menunjukkan, menjelang 2025, 1.8 bilion orang akan tinggal di negara-negara atau kawasan dengan kekurangan air yang mutlak, dan dua pertiga daripada penduduk dunia akan berdepan dengan keadaan hidup yang banyak tekanan.
      Mengikut kajian WWAP, setiap orang memerlukan antara 20 hingga 50 liter air bersih yang selamat sehari untuk menjamin keperluan asas minuman, memasak dan pencucian.
Namun demikian, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih daripada seorang bagi setiap 6 orang di seluruh dunia (kira-kira 894 juta) tidak mempunyai akses kepada jumlah air bersih itu.
      Di peringkat global, cirit-birit ialah punca menyebabkan penyakit dan kematian akibat kekurangan akses kepada kemudahan sanitasi serta bekalan air yang tidak mencukupi bagi kebersihan di samping air minuman yang tidak selamat.
      Malahan hari ini 2.5 bilion orang, termasuk hampir satu bilion kanak-kanak, tinggal tanpa sanitasi asas. Setiap 20 saat seorang kanak-kanak maut akibat keadaan sanitasi yang menyedihkan. Angka itu ialah 1.5 juta kematian yang boleh dielakkan setiap tahun.
Perangkaan berkenaan diperoleh daripada Water Supply and Sanitation Collaborative Council (WSSCC), organisasi antarabangsa dengan sekretariat berpejabat di Geneva, Switzerland.




     Menurut WSSCC, di bahagian Sub-Sahara Afrika, merawat cirit-birit melibatkan 12 peratus daripada bajet kesihatan. Pada hari biasa, pesakit yang menderita penyakit berkait dengan kotoran najis memenuhi lebih separuh daripada katil hospital.
     Kajian yang dibuat oleh WWAP mendapati, dua juta tan sisa manusia dibuang ke dalam saliran air setiap hari.       Di negara sedang membangun, 70 peratus sisa industri dibuang tanpa dirawat ke dalam air di mana ia mencemar sumber air yang boleh digunakan.
     Hasil penemuan ini senada dengan kajian GEO-4 iaitu jangkaan peningkatan penggunaan baja untuk pengeluaran makanan serta limpahan air sisa dalam tempoh tiga dekad akan datang akan menaikkan kandungan nitrogen di dalam sungai antara 10-20 peratus ke sistem ekologi pesisiran pantai.
     Menurut WWAP separuh daripada kawasan paya air tawar dunia pupus sejak 1900.
Ia juga menganggarkan bahawa antara 1991 dan 2000, lebih 665,000 orang terkorban dalam 2,557 bencana alam di mana 90 peratus ialah kejadian yang berkait dengan air.


                                 
     Keperluan air minuman harian setiap orang ialah antara 2 hingga 4 liter, tetapi untuk menghasilkan makanan harian untuk seorang memerlukan antara 2,000 hingga 5,000 liter air.
    Menurut FAO, sebanyak 1,000 hingga 3,000 liter air diperlukan untuk menghasilkan hanya sekilo beras dan 13,000 hingga 15,000 liter air bagi mengeluarkan sekilo daging lembu di mana haiwan ini diberi makan bijirin.
    Agensi PBB itu menganggarkan pada 2007, jumlah orang yang mengalami kekurangan khasiat makanan seluruh dunia ialah 923 juta.
    Dari tempoh itu hingga 2050, FAO melaporkan air dunia perlu menanggung sistem pertanian yang akan memberi makan serta menjana mata pencarian untuk tambahan 2.7 bilion orang.
    Dari segi tanah di bawah pengairan di dunia, FAO menganggarkan ia sekitar 277 juta hektar, iaitu kira-kira 20 peratus daripada semua kawasan pertanian. Pertanian yang bergantung kepada air hujan juga diamalkan iaitu hampir 80 peratus daripada tanah suaitani.
    Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim meramalkan hasil tuaian daripada pertanian yang bergantung kepada sumber air hujan akan menurun sebanyak 50 peratus menjelang 2020.
    Akibat perubahan iklim, agensi PBB itu menjangkakan salji dan ais banjaran Himalaya, yang menyumbang sejumlah besar air untuk pertanian di Asia dijangka merosot sebanyak 20 peratus menjelang 2030.
    Katanya pengairan dan saliran menaikkan hasil tuaian kebanyakan tanaman sebanyak 100 hingga 400 peratus, dan pertanian yang membabitkan pengairan menyumbang 40 peratus kepada pengeluaran makanan dunia.
    Bagaimanapun, amalan perparitan dan pengairan yang lemah menyebabkan berlakunya air tersumbat dan kemasinan tanah (salinisation), melibatkan kira-kira 10 peratus tanah dunia yang digunakan untuk pertanian.


         
    Climate Institute (CI), pertubuhan bukan bersifat keuntungan yang berpejabat di Washington mengenal pasti empat faktor utama, iaitu pertumbuhan penduduk, peningkatan urbanisasi, penggunaan air yang tinggi, pencemaran dan perubahan iklim yang menyebabkan kekurangan air.
Menurut Institut itu, penduduk dunia pada abad lepas meningkat tiga kali ganda dan dijangkakan meningkat daripada jumlah 6.5 bilion sekarang kepada 8.9 bilion pada 2050.
     Dalam tempoh 20 tahun akan datang, jumlah penduduk di bandar-bandar di Asia juga dijangkakan akan bertambah seramai satu bilion orang.
Penggunaan air juga dijangka meningkat selaras dengan kepesatan kemajuan serta pembangunan seluruh dunia.
     Sumber air tawar juga dijangka merosot akibat perubahan iklim yang tenat dengan impak bukan sahaja ke atas kualiti air tetapi juga sistem ekologi akuatik dan air bawah tanah.
Beberapa bahagian selatan China dilaporkan baru-baru ini mengalami kemarau yang paling buruk dalam tempoh beberapa dekad ini. Ini menyebabkan berjuta-juta penduduk tidak mempunyai bekalan air yang cukup dan banyak kawasan perladangan menjadi terlalu kering untuk dicucuk tanam.
     Malah sesetengah penganalisis meramalkan air akan menjadi faktor penting mencetuskan konflik dan pertikaian pada masa depan akibat kekurangan air yang melampau memandangkan banyak negara berkongsi lembangan sungai serta sumber air yang lain.
     Sebagai komponen utama organisma hidupan, air yang berkualiti baik ialah perkara asasi untuk kegunaan manusia.
Ia juga amat diperlukan untuk menampung kegunaan pelbagai aktiviti ekonomi serta sistem ekologi yang kita diami.
     Kualiti air juga ditentukan oleh faktor fizikal, kimia dan biologikal memandangkan air ialah pelarut sejagat, yang bermakna ia boleh melarut pelbagai bahan.
Sehubungan dengan itu, kualiti air bergantung kepada bahan yang dilepaskan ke dalam alam sekitar termasuk ke air permukaan dan air bawah tanah.
     Perlu juga diingat bahawa air selepas digunakan lazimnya akan kembali ke sistem hidrologikal dan alam sekitar akan menanggung impak buruk jika air ini dibiarkan tanpa dirawat.

Monday 23 May 2011

Petikan Utusan Malaysia


Turun padang selesaikan krisis air

KUALA LUMPUR 3 Mei - Semua pihak yang bertanggungjawab dan berkaitan digesa supaya turun padang dan melihat sendiri permasalahan yang berlaku di negeri itu dalam usaha untuk menamatkan krisis perkhidmatan air di Selangor demi kesejahteraan rakyat.
Presiden Pengguna Prihatin Selangor dan Wilayah Persekutuan, Buang Raban berkata, semua pihak sepatutnya mencari jalan yang proaktif dan bukan hanya menuding jari kepada satu sama lain.
"Permasalahan yang timbul bukanlah disebabkan kesilapan atau kelemahan syarikat pengendali air. Mereka ini hanya pemain dalam industri air yang mengikut perjanjian konsesi ditetapkan oleh kerajaan negeri dan Pusat.
"Justeru, satu kata putus harus dibuat oleh kedua-dua pihak (kerajaan Pusat dan kerajaan negeri) bagi mengatasi kemelut yang kian meruncing ini lebih-lebih lagi dengan adanya tindakan penurunan penarafan bon dari semasa ke semasa yang membebankan semua pihak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas permasalahan penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air di Selangor yang gagal mencapai kata putus disebabkan percanggahan pendapat antara kerajaan Pusat dan negeri sejak tahun lalu.
Jelas Buang, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Pengurusan Aset Air Bhd. (PAAB), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) perlu peka dan bekerjasama untuk mengeluarkan kata putus yang menguntungkan semua pihak.
Katanya lagi, tindakan sesetengah pihak yang menuding jari kepada syarikat konsesi juga dilihat tidak wajar kerana syarikat tersebut telah mengeluarkan modal yang tinggi menerusi pinjaman bank, dan pemegang bon bagi membiayai kos peningkatan infrastruktur, penggantian paip-paip usang, kos rawatan air mentah selain memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna.
Tambahnya, tidak wajar sekiranya syarikat tersebut dilihat berorientasikan keuntungan semata-mata kerana tanggungjawab yang dipikulnya adalah besar dan tindakan menaikkan tarif adalah peluang untuk syarikat konsesi melunaskan hutang pinjaman bank mereka.
"Kenaikan tarif air di Selangor diakui oleh semua pakar air sebagai sebuah mekanisme berkesan mengekang pembaziran air dan menyemai nilai berjimat-cermat dalam menggunakan air," ujarnya.

Pengumpulan Air Hujan Boleh Cegah Krisis Air, Kata Penyelidik UKM



BANGI, 22  Okt. 2010 – Ramai antara kita tidak terfikir negara ini boleh mengalami kekurangan air kerana sememangnya menerima air hujan yang amat lebat dan air rawatan dapat pula dibekalkan ke rumah, kedai dan pejabat dengan kadar yang cukup murah. 
Tetapi, kepada perancang dan penyelidik, kawasan-kawasan padat penduduk seperti Lembah Kelang dan Pulau Pinang mungkin menghadapi krisis kekurangan bekalan air kerana permintaan untuk air paip yang telah dirawat kian meningkat manakala kos untuk merawat air pula melambung tinggi hingga tidak mungkin boleh mempertahankan kadar bayaran air yang terdapat sekarang.

“Kini terdapat tidak kurang daripada tiga taman perumahan di Sandakan – Taman Utama, Taman Megah dan Taman Mawar – di mana pemaju telah memasang SPPAH bagi menampung keperluan air oleh penghuni,” katanya. 

Majlis Perbandaran Sadakan telah menguatkuasakan dasar SPPAH untuk taman perumahan dan bangunan lain pada awal 2000 apabila bandar itu dilanda krisis air akibat fenomena pemanasan global. Amalan itu nampaknya telah berjaya menyelesaikan masalah yang dialami penduduk yang berdepan dengan catuan air dua hari seminggu.
Air hujan yang dikumpul disimpan dalam tangki sebesar 400 hingga 500 gelen and air itu diguna untuk menyiram halaman, mencuci kenderaan dan pakaian serta kegunaan mencuci rumah dan juga untuk mengepam jamban.

“Selain menampung kekurangan air, SPPAH itu dapat mencegah hakisan tanah, menaikkan paras air bawah tanah, meningkatkan keluaran pertanian dan mengadakan pengurusan sungai yang lebih baik, mengawal perubahan iklim dan mengurangkan bil air,” kata Dr Adi, 30, seorang juruukur bangunan terlatih.

Beliau memperoleh izajah B.Sc (Kepujian) jurusan Juruukur Bangunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2003 dan PhD dalam jurusan Pengurusan Kemudahan dari Universiti Malaya pada 2007. Beliau dilantik sebagai pensyarah oleh UKM pada 2007 dan kini menyandang jawatan pensyarah kanan sejak 2008.

Beliau berkata antara sistem SPPAH yang digunapakai di Sandakan, SPPAH di belakang rumah adalah yang lebih popular daripada sistem depan rumah atau sistem bawah tanah rumah.

Cara mengumpul air hujan yang mudah melibatkan alur mengelilingi bumbung dengan paip turun membawa air hujan ke tangki simpanan yang dipasangkan dengan saluran mengeluarkan air berlebihan. Sistem yang lebih canggih boleh diadakan dengan menggunakan penapis, pam air dan sambungan paip ke tangki air rawatan, untuk menampung kekurangan air dalam tangki air hujan.  

“Kos pemasangan SPPAH adalah 2 hingga 5% kos projek, sedangkan pemulangan kepada pelaburan adalah lebih daripada 5 tahun,” katanya, sambil menambah bahawa pelaburan ini mungkin nampak tidak berbaloi bagi seorang tuan punya rumah. 

Tetapi, keadaan ini akan berubah apabila caj penggunaan air paip dinaikkan apabila kos rawatan air melambung.

“Buat masa ini, ramai orang tidak terfikirkan penggunaan SPPAH ini kerana terlalu manja dengan air paip hingga menggunakan air berkualiti itu untuk apa sahaja – mencuci kereta, menyiram halaman dan taman serta mengepam jambanMemandangkan keadaan begitu, Dr Adi dan rakan-rakan seperjuangannya cuba mempromosikan penggunaannya dengan “mewujudkan nilai” terhadap SPPAH.

Beliau juga menerangkan bahawa ramai orang tidak sedar bahawa air hujan adalah air yang bersih setanding dengan air rawatan. Kajian telah membuktikan bahawa air hujan adalah terbersih sekali apabila ia dikumpul selepas 15 minit hujan turun (bergantung pada tempat seperti kawasan industri atau desa).  

Dr Adi berkata SPPAH adalah ekonomik untuk bangunan besar seperti kompleks membeli-belah, komersil dan bangunan kerajaan. Sebagai contoh, beliau berkata bangunan kompleks belibelah One Utama di Bandar Utama telah dipasang dengan SPPAH di mana sehingga 2.35 juta gelen air hujan dapat disimpan iaitu cukup untuk kegunaan selama 20 hari.  
. Itu adalah satu pembaziran besar!” katanya.
“Kami difahamkan bahawa syarikat itu telah dapat kembali pelaburannya yang melebihi RM1 juta dalam tempoh 4 tahun sahaja kerana penjimatan bil air,” katanya.

Dr Adi berkata kebanyakan penguasa tempatan menggalakkan pemaju secara lisan atau bersurat memasangkan SPPAH and langkah tersebut nampaknya telah mula berhasil. Di kawasan Majlis Daerah Kuala Langat  4 buah bangunan sudah pun dipasang SPPAH.

Di kawasan Majlis Perbandaran Seberang Perai, 4 bangunan juga telah dipasang SPPAH manakala 5 taman perumahan di Majlis Daerah Segamat juga dibangunkan dengan SPPAH. Di kawasan Majlis Daerah Kuala Selangor, 5 projek pembangunan bercampur sudah disediakan SPPAH.   
“Pengumpulan air hujan bukan satu perkara baru di Malaysia. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengeluarkan garis panduan untuk SPPAH selepas krisis air 1998, untuk menampung sebarang kekurangan bekalan air dan sebagai penampan semasa krisis air,” katanya.

Selain itu Jabatan Saliran dan Perparitan (DID) juga telah memasang SPPAH di semua pejabatnya manakala Institut Penyelidikan Hidraulik Nasional Malaysia giat menggalakkan pemasangan SPPAH.

Dr Adi berkata negara masih tiada program latihan khas untuk menyediakan reka bentuk tangki pengumpulan air hujan seperti terdapat di Pusat Sains dan Alam Sekitar di New Delhi, India. Beliau telah mereka bentuk dan memasang SPPAH di sebuah bangunan di kampus UKM sebagai model, bersama-sama dengan Prof Madya Ar. Zuhairuse Md Darus, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Pengurusan UKM.
Walaupun terdapat beberapa faktor yang menghalang orang biasa menggunakan SPPAH, beliau gembira dengan langkah Industri Pembinaan dan Bangunan Malaysia memulakan Index Bangunan Hijau (GBI) pada April 2009 sebagai satu sistem penilaian alam sekitar untuk bangunan-bangunan Malaysia. 

SPPAH akan diberi markah GBI dan sudah tentu para pemaju dan arkitek digalakkan untuk memasang SPPAH di bangunan mereka.

“Insentif GBI itu tidak terlambat kerana kebanyakan air paip yang digunakan orang ramai seharian bukannya untuk minum atau masakan. 

“Seorang Malaysia menggunakan 300 liters air sehari, dua kali ganda penggunaan seorang biasa di Singapura, Britain atau Australia. Ia juga dua kali ganda jumlah penggunaan air yang disyurkan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya. –


  * Sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat pelbagai cara untuk menangani krisis          air..jadi,buat apa lagi kita nak berdiam diri..mulakan inisiatif diri!

FOMCA: AMBIL IKTIBAR KEGAGALAN PROJEK PENYELESAIAN KRISIS AIR DI LABUAN


   Pada tahun 2009, Sime Darby telah membuat pengumuman bahawa syarikat tersebut akan menjalankan projek air bawah tanah untuk menyelesaikan krisis air yang berlaku di Pulau Labuan. 

   Datuk Marimuthu Nadason, Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berkata, “Projek air bawah tanah yang lestari berdasarkan kepada nilai ‘aliran masuk’ iaitu kaedah pengisian air bawah tanah secara semula jadi. Sebarang penggunaan melebihi nilai ini diklasifikasikan sebagai perlombongan air.



   Tidak terdapat aktiviti perlombangan air yang lestari atau mesra alam pada masa ini di seluruh dunia. Keadaan ini menyebabkan Labuan mengalami kemarau kerana tidak mempunyai aliran masuk untuk mengekalkan aras air bawah tanah.”


   Ahli gabungan FOMCA, tambah beliau lagi, iaitu Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) telah mengkaji isu ini dan mempersoalkan tentang kelulusan projek ini kepada beberapa agensi kerajaan. Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada agensi-agensi berkenaan, didapati projek ini dilaksanakan atas dasar kecemasan.
Datuk N. Marimuthu selanjutnya berkata, “Sime Darby tidak boleh membuat pengumuman berbentuk projek yang membawa pulangan kewangan. Projek ini dianugerahkan di bawah Majlis Keselamatan Negara untuk mengurangkan kesengsaraan rakyat, bukannya untuk memperkukuhkan kedudukan Sime Darby dalam projek air bawah tanah.


   Keduanya, dua lubang (atau ‘borehole’) telah digali di bawah projek ini, tetapi masalah krisis air masih berterusan. Adakah ini penyelesaian yang dimaksudkan? Mengapa duit rakyat dibazirkan disebabkan satu projek yang tidak berfungsi?


  “Pihak kami juga telah memberikan cadangan seperti loji pengenyah garam (desalination) yang bergerak sebagai salah satu penyelesaian. Loji seperti ini telah diadakan di India sebagai  sumber bekalan air kepada kawasan yang dilanda krisis air.”


   Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui pernah membuat kenyataan, yang lebih bersifat lestari dan merupakan salah satu  penyelesaian kepada masalah bekalan air di Labuan, iaitu melakukan proses kitar semula air sisa kumbahan untuk kegunaan industri. Ini merupakan satu langkah yang bijak, ujar Datuk Marimuthu lagi.
Beliau berkata, “Langkah seperti ini sewajarnya diijalankan apabila berlakunya  krisis air. Ini bukannya suatu tindakan yang baru. Singapura sendiri telah menggunakan sumber ini untuk diproses sebagai air minuman.


   “Di Sydney, Australia,  terdapat dua jenis paip air, iaitu satu untuk kegunaan minuman dan makanan, manakala satu lagi untuk kegunaan bukan minuman dan makanan yang dibekalkan daripada air kumbahan yang dikitar semula. FOMCA lebih mengesyorkan usaha seperti ini setelah melihat kegagalan Sime Darby dalam  menyelesaikan krisis air ini.”


   Datuk N. Marimuthu juga berharap kerajaan lebih memberikan tumpuan dalam pengurusan air yang sebenar melalui pengurusan air di permukaan. Hal  ini juga telah disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia semasa merasmikan sambutan Hari Air Sedunia 2010 di Muar, Johor.


   Keputusan untuk meluluskan sesuatu projek mestilah berdasarkan kepada keupayaan dan hasil yang ketara. Hentikan pembaziran duit rakyat dan memberikan tumpuan pada penyelesaian kejuruteraan yang sebenar.


   Sekarang siapa yang memastikan bahawa Sime Darby akan bertanggungjawab terhadap kegagalan ini?


Datuk Marimuthu Nadason,
Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)